Beliau RA berkata tentang dakwah, Yang wajib bagi kita yaitu harus menjadi daI dan tidak harus menjadi qodli atau mufti (katakanlah wahai Muhammad SAW inilah jalanku, aku mengajak kepada Allah dengan hujjah yang jelas aku dan pengikutku) apakah kita ikut padanya (Rasulullah) atau tidak ikut padanya? Arti dakwah adalah memindahkan manusia dari kejelekan menuju kebaikan, dari kelalaian menuju ingat kepada Allah, dan dari keberpalingan kembali menuju kepada Allah, dan dari sifat yang buruk menuju sifat yang baik.

Wednesday, December 21, 2011


Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni (KUIS)










http://jomfaham.blogspot.com/2011/12/takzim-syari-kecintaan-bukan-pendewaan.html










Kedudukan syeikh/wali dalam tasawuf sering disalahertikan oleh orang yang memusuhinya. Faktornya datang sama ada dari prasangka yang buruk terhadap golongan sufi, ataupun berpunca dari tingkahlaku sesetengah pengikut sufi yang menyeleweng. Adab menghormati syeikh sering dikaitkan dengan pendewaan dan pemujaan (taqdis). Sedangkan asal adab ini diambil dari akhlak golongan yang dipuji dan diredai oleh Allah s.w.t. Amat banyak dalil yang menunjukkan bagaimana adab para sahabat yang tinggi terhadap baginda Rasulullah s.a.w.


Antaranya, ‘Urwah ibn Mas’ud pernah menggambarkan keadaan para sahabat r.a. bersama Nabi Muhammad s.a.w. Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya kepada al-Miswar ibn Makhramah dan Marwan, kedua-duanya berkata:
‘Urwah pun kembali kepada kaumnya. Dia berkata, “Wahai kaumku! Demi Allah, sesungguhnya aku telah beberapa kali diutus kepada raja-raja. Aku pernah diutus kepada Qaisar (Raja Rom), Kisra (Raja Parsi) dan Najasyi (Raja Habsyah). Demi Allah, aku tidak pernah melihat seorang raja yang diagungkan oleh sahabat (rakyat)nya, seperti yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Muhammad s.a.w. Demi Allah, tidaklah beliau berludah, kecuali ludahnya itu jatuh di atas telapak tangan seseorang daripada mereka. Lalu dia menggosok ludah itu ke muka dan kulitnya. Jika beliau menyuruh mereka, mereka berebut-rebut untuk melaksanakan perintahnya. Apabila beliau berwuduk, hampir saja mereka saling berbunuhan kerana merebutkan air wuduknya. Apabila mereka berbicara, mereka merendahkan suara di sisinya. Mereka juga tidak menajamkan pandangan kepadanya kerana membesarkannya”.
(Riwayat Imam al-Bukhari)

Para sahabat r.a. telah menggariskan satu bentuk takzim yang terus diikuti oleh generasi seterusnya terhadap baginda Rasulullah s.a.w. yang dapat kita istilahkan sebagai bentuk takzim yang syar’i. Takzim syar’i ini ialah satu bentuk kecintaan dan penghormatan dalam batas-batas yang diterima oleh syarak yang tidak mengeluarkan sifat seseorang manusia itu daripada sifat makhluk kepada sifat Khaliq. Ini juga adalah sebahagian daripada hakikat tawassul yang dibenarkan oleh syarak.


Baginda Rasulullah s.a.w. juga mengajar kita supaya menghormati para alim ulama, para wali Allah dan semua mereka yang mempunyai kedudukan dan hak untuk dihormati. Adakalanya sesetengah mereka lebih berhak untuk dihormati dan dikasihi oleh seseorang itu berbanding sesetengah mereka yang lain, terutama kerana keterikatan dan keterkaitan dalam hubungan yang disimpulkan. Maka hak yang lebih itu, tidak mungkin akan membawa kepada pendewaan dan pemujaan yang berlebihan melainkan jika dibawa oleh orang-orang yang jahil dan sesat. Orang mukmin yang waras dapat membezakan antara kedudukan Khaliq dan makhluk. Malahan golongan sufi yang masih mentah sekalipun dapat membezakan antara takzim yang syirik dan takzim yang syar’i.


Allah s.w.t. telah menetapkan sistem kedudukan dan martabat manusia yang berbeza agar mereka dapat saling berkerjasama dan hormat menghormati dalam membentuk kehidupan yang lebih sempurna dan tiada berlaku kacau bilau. Pendewaan dan pemujaan sesama manusia hanya terbentuk dalam minda golongan yang jahil tentang kesucian agama Islam itu sendiri. Tanpa ilmu dan pedoman, ia dapat membawa mereka masuk terjerumus ke dalam lembah kesyirikan.


Sayyidi Syeikh Ahmad bin Mustafa al-‘Alawi (w. 1351H), seorang syeikh Tariqat Syaziliyyah yang masyhur di Algeria, pernah ditanya tentang pandangan orang yang mengatakan bahawa mentakzim makhluk, merendah diri di hadapannya, dan menghina diri di ‘muka pintu’nya adalah dianggap sebagai satu bentuk peribadatan/penyembahan, dan penyembahan selain dari Allah pula adalah dianggap syirik sebagaimana makna syirik itu sendiri. Jika begitu, apakah jalan keluarnya?


Beliau menjawab:
Jika mentakzim makhluk dan merendah diri di hadapannya dianggap sebagai syirik kepada Allah, nescaya akan gugurlah kehormatan para nabi dan rasul a.s., dan juga kehormatan para pengikut mereka dari kalangan imam-imam Islam, dan nescaya manusia akan menjadi cacamerba, di mana tidak ada perbezaan antara orang yang mulia dan orang yang hina, serta orang yang mengikut dan orang yang diikuti. Pada hal, syariat yang mulia telah datang kepada kita dengan prinsip yang bertentangan dengan prinsip tersebut di atas satu garis yang lurus. Justeru, kami tidak akan memanjangkan kata-kata bagi menguatkan hujah kami tentang masalah ini, kerana perkara ini adalah jelas.



Dalam erti kata lain, apa yang dilihat oleh golongan ini bahawa mentakzim makhluk itu dianggap dapat mencemarkan ketauhidan, nescayalah Allah tidak akan menyuruh para malaikat bersujud kepada Adam. Maka mereka pun bersujud, sedang mereka adalah golongan yang suci dari melakukan sebarang bantahan, apatah lagi kesyirikan. Tidak syak lagi bahawa bersujud itu adalah sehabis-habis batas merendah dan menghina diri serta mentakzim, maka hak bersujud itu tidak dapat diberikan melainkan hanya kepada Allah sahaja. Apakah ada orang yang sanggup mengatakan; bahawa Allah telah mensyariatkan bagi para malaikat itu menyembah yang selain-Nya dengan sebab suruhan-Nya kepada mereka untuk bersujud? Maha suci Allah, jika ada seorang mukmin yang mengatakan demikian.


Dan juga, jika perkara yang seumpama ini dapat menandingi martabat tauhid yang suci, nescaya tidak akan sujud Yakub a.s. yang bersifat siddiq, isteri dan sebelas orang anak-anaknya kepada Yusuf a.s. sepertimana yang dikhabarkan oleh Allah tentang mereka di dalam al-Quran. Dan juga, apakah ada orang mukmin yang percaya bahawa mereka semua telah pun syirik kerana sujudnya mereka itu kepada Yusuf, dan Allah menggugurkan amalan mereka dengan sebab itu? Tidak sekali-kali, dan seribu kali tidak.


Namun, kami tidak mahu untuk mensabitkan dengan kisah tersebut akan keharusan bersujud kepada makhluk, di samping kita sendiri tiada sebarang makluman pun tentang kaifiatnya. Dan had batasan seseorang itu, kita percaya bahawa tiada persaingan antara mentakzim makhluk - jika sahih nisbahnya kepada Allah (seperti utusan Allah, rumah Allah, wali Allah dsb) - dan antara mentakzim Allah ‘azza wajalla, bahkan kita percaya mentakzim makhluk itu adalah untuk mentakzim Allah jua, atas batasan firman-Nya:
“Sesiapa yang mentaati Rasul sesungguhnya ia telah mentaati Allah”
(al-Nisa’: ayat 80), atas dasar bahawa terkandung juga di dalam nas tersebut makna; sesiapa yang mentakzim Rasul, sesungguhnya ia telah mentakzim Allah. Dan tidak kami maksudkan dengan takzim di sini melainkan takzim yang syar’i. Dan takzim syar’i itu ialah kamu menyerahkan bersamanya kedudukan Khaliq kepada Allah ‘azza wajalla dan kedudukan makhluk pula kepada yang selain-Nya. Ini berdasarkan satu ibarat.


Manakala dengan ibarat lain, jika keengganan untuk mentakzim makhluk dan bersikap tidak peduli dengan kedudukannya itu dianggap suatu kemuliaan dan dianggap memelihara tauhid yang suci kepada Allah ‘azza wajalla, nescaya Iblis-lah yang akan berjaya merebut keistimewaan itu sebelum sesiapa pun jua, kerana dialah pendakwa pertama yang mengetengahkan prinsip tersebut. Dan menurut fikiran saya, dia masih lagi mengekalkannya hingga kini. Secara umumnya, takzim yang syar’i kepada golongan pilihan Allah itu apabila terangkat daripada hati – wal ‘iyazu biLlah - tidak akan ada lagi yang tinggal selepasnya melainkan hanya penghinaan (kepada mereka pula). Semoga Allah memelihara kita. Wassalam.


Demikian jawapan Sayyidi Syeikh Ahmad bin Mustafa al-‘Alawi رحمه الله. Beliau menegaskan bahawa takzim yang syar’i itu bukanlah takzim syirik seperti yang didakwa oleh sesetengah orang. Disiplin kesufian amat menekankan ketauhidan yang suci kepada Allah s.w.t. melalui zikir nafi dan ithbat di bawah bimbingan guru yang perlu ditunaikan hak adab-adabnya. Maka, dari mana pula datangnya pendewaan dan pemujaan (taqdis) atau takzim syirik itu??


Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment